Ucapan sulung MB tuntut hak royalti minyak Terengganu

Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini menyatakan tekadnya untuk terus menuntut hak royalti minyak Terengganu.
Ahmad Samsuri berkata pelbagai pendekatan akan diambil bagi tujuan itu termasuk tindakan undang-undang.
“Kita akan memperjuangkan dengan pelbagai cara pendekatan undang-undang, pendekatan secara berunding untuk mendapatkan kembali royalti minyak Terengganu dan juga mendapatkan hasil daripada Telaga Bertam yang telah dihilangkan dan ditiadakan dari kewangan kerajaan negeri,” kata Ahmad Samsuri dalam ucapan sulungnya sebagai menteri besar.
Ahmad Samsuri berkata demikian ketika kuliah Dhuha di Rusila, Marang, hari ini.
ADUN Rhu Rendang itu malam tadi mengangkat sumpah sebagai menteri besar PAS memenangi 22 daripada 32 kersi DUN Terengganu pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Isu royalti minyak Terengganu dan Kelantan menjadi topik perbincangan sejak sekian lama dengan PAS mendakwa hak mereka sebagai kerajaan negeri dinafikan oleh kerajaan pusat BN, sebelum ini.
Setahun selepas PAS mengambil alih pentadbiran negeri pada pilihan raya 1999, Putrajaya yang diterajui oleh perdana menteri, Tun Dr Mahathir ketika itu memansuhkan bayaran royalti.
Mereka, sebaliknya membayar “wang ehsan” yang disalurkan terus kepada rakyat melalui BN.
Bagaimanapun, sekitar 2015 Petronas mengumumkan tidak lagi akan membayar Terengganu, selepas mendakwa negeri itu tidak berhak menuntut hasil wang royalti untuk telaga minyak di luar tiga batu nautika dari persisiran pantai negeri.

Comments