MB Terengganu dapat restu ibu

MARANG: "Umi tak tahu nak cakap apa sebab tak pernah jangka abang akan menjadi wakil rakyat cuma Umi harap abang jalankan tanggungjawab sebaiknya," kata Safiah Abd Latif, 77, ibu Menteri Besar Terengganu yang baharu Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang dilantik Menteri Besar selepas PAS memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelmarin.
Menurut Safiah yang mesra dipanggil Umi, perasaannya bercampur antara gembira dan sedih apabila anak ketiga daripada lima beradik itu diberi kepercayaan menerajui kerajaan negeri.
"Sebagai ibu, umi restu dan sentiasa doakan yang terbaik untuk abang cuma umi harap abang sentiasa ingat tanggungjawab.
"Abang kena ingat apa yang Allah SWT katakan kita sebagai manusia mesti betulkan segala-galanya, jangan langgar undang-undang atau hukum.
"Buat yang terbaik sebab orang sudah beri kepercayaan kepada abang," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Sementara itu, isteri Dr Ahmad Samsuri, Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, 49, berkata, pemilihan suaminya sebagai pemimpin nombor satu di negeri itu bukan sekadar jawatan semata-mata tetapi beliau akan memikul tanggungjawab besar.
DR Ahmad Samsuri (tengah) bersama ibu, Safiah (dua dari kanan) dan isteri, Tuan Faizah (tiga dari kiri) meraikan kegembiraan selepas majlis pelantikannya menjadi Menteri Besar Terengganu yang ke-15 di kediamannya Kampung Rusila, Marang. - Foto Ghazali Kori
"Jawatan ini bukan sesuatu yang seronok semata-mata kerana ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan baik.
"Apa pun, sebagai isteri saya akan sokong dan berdoa suami boleh menjalankan amanah yang diletakkan di bahunya sebaik mungkin.
"Saya juga berada di belakang dan membantunya menjalankan amanah diberikan," kata ibu kepada enam cahaya mata berusia antara sembilan hingga 24 tahun itu.
Terdahulu, suasana yang pada mulanya ceria bertukar sebak seketika apabila Safiah tidak dapat menahan rasa sedih ketika ditanya mengenai pelantikan anaknya sebagai Menteri Besar sebelum wanita terbabit ditenangkan Ahmad Samsuri.
Sebelum itu, beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu di Istana Syarqiyyah selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (kanan) berkenan menyampaikan watikah pelantikan Menteri Besar ke-15 kepada Dr Ahmad Samsuri. - Foto Ghazali Kori

Comments