MB: Bukan Islam di T'ganu tak perlu bimbang dengan PAS

Bukan Islam di Terengganu tidak perlu bimbang dengan pentabiran baru kerajaan PAS di negeri itu.
Menteri Besar Terengganu yang baru, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi jaminan masalah dihadapi masyarakat bukan Islam akan ditangani sebaik mungkin.
“Tidak perlu ada kebimbangan dalam hal (melibatkan bukan Islam), insya-Allah kerana kita akan tangani secara halus mengenainya termasuklah berbincang serta mengadakan pertemuan.
“Kita juga akan mencari jalan terbaik bagi semua pihak dan jangan bimbanglah,” katanya dalam sidang media pertama selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru malam tadi.
Ahmad Samsuri yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang berkata selaku menteri besar beliau sedia melantik wakil bukan Islam dalam pentadbirannya.
“Kita akan perhati keperluan itu serta akan laksanakan lantikan jika perlu,” katanya.
Mesej kasih sayang
Sementara itu, mengulas perancangan jangka panjang, Ahmad Samsuri berkata beliau akan mewujudkan jawatankuasa pelaksana manifesto PAS Terengganu dan dilaksanakan mengikut kesesuaian portfolio exco.
“Tetapi yang paling besar adalah mesej umum kepada rakyat Terengganu bahawa kerajaan yang kita bina di Terengganu ini adalah kerajaan untuk rakyat dan kita semua dengan membawa mesej kasih sayang di antara satu sama lain,” katanya.
Beliau turut mengesahkan mesyuarat pertama barisan exconya akan bermula sebaik saja memasuki Wisma Darul Iman, Isnin ini.

Tidak aniaya mana-mana pihak
Menyentuh mengenai rombakan di peringkat agensi kerajaan negeri pula, Ahmad Samsuri berkata beliau akan melihat terlebih dahulu sejauh mana penambahbaikan perlu dilakukan tanpa menganiaya mana-mana pihak.
"Apabila ada penambahbaikan itu tentulah mungkin akan ada beberapa rombakan untuk penambahbaikan tanpa menganiaya mana-mana pihak, dan itu yang akan menjadi asas kita,” tegasnya.
Katanya, pihaknya akan meneliti projek-projek mega yang terdapat di negeri itu bagi mengkaji dari segi perjalanan dan kesan implikasi kos kepada kerajaan negeri.

Comments